“Faedah Menyertai Kegiatan Kokurikulum kepada Pelajar”
Kegiatan
kokurikulum merupakan kegiatan yang dijalankan di luar jadual waktu belajar.
Kegiatan kokurikulum terbahagi pada tiga komponen iaitu kelab dan persatuan,
sukan dan permainan serta unit pakaian seragam.
Dengan menyertai kegiatan kokurikulum,
para pelajar dapat memantapkan pengetahuan mengenai sesuatu kegiatan. Para
pelajar mendapat ilmu mengenai kemahiran tertentu seperti berkhemah atau
meningkatkan kemahiran dalam sukan yang diikuti.
Selain itu, para pelajar dapat memupuk
disiplin yang tinggi dalam diri. Setiap
aktiviti yang dilakukan memerlukan pelajar patuh kepada peraturan. Ini dapat
menyemai jati diri dan menjadi pelajar yang bertanggungjawab.
Di samping itu, penyertaan pelajar
dalam kegiatan kokurikulum dapat memupuk sikap positif dalam diri pelajar. Para
pelajar dapat belajar bagaimana untuk bekerjasama dan mempunyai semangat setia
kawan. Setiap aktiviti yang dijalankan
dapat menjadikan para pelajar bersatu padu dan membuat aktiviti dalam
suasana harmonis.
Seterusnya, bakat para pelajar dapat
dicungkil melalui kegiatan kokurikulum. Bakat yang terpendam dapat dipupuk dan
dikembangkan untuk kebaikan pelajar . Para pelajar dapat menggunakan bakat yang
ada untuk mencorak kerjaya pada masa hadapan.
Oleh itu, para pelajar perlu
melibatkan diri sepenuhnya dalam kegiatan kokurikulum. Jelaslah bahawa kegiatan
kokurikulum memberi banyak faedah kepada pelajar.
SYARAHAN
“Kebaikan Bersukan”
Salam sejahtera saya ucapkan kepada
Tuan Pengerusi Majlis, yang dihormati
Tuan Guru Besar, para hakim yang bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan yang
dikasihi.
Tajuk syarahan saya ialah “Faedah
Bersukan”. Bersukan merupakan aktiviti yang dilakukan di luar bilik darjah
seperti bermain bola sepak, bola jarring dan sebagainya,
Hadirin yang
dihormati,
Apabila kita bersukan, badan kita akan
menjadi sihat. Dengan gerakan yang banyak dilakukan, badan kita akan
mengeluarkan peluh. Peluh yang dikeluarkan itu mengandungi bahan kumuhan yang
tidak diperlukan oleh badan.
Selain mendapat badan yang sihat ,
kita dapat juga mencerdaskan otak. Dengan bersukan, oksigen lebih banyak sampai
ke otak. Otak yang cerdas membantu
pelajar lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan.
Hadiri yang dihormati,
Selain itu, kita dapat mengenali lebih
ramai kawan atau merapatkan hubungan dengan kawan. Apabila mendapat ramai
kawan, kita tidaklah kekok untuk berinteraksi dengan orang lain. Ini menjadikan
kita seorang yang aktif.
Seterusnya, kita boleh mengisi masa
lapang dengan bersukan. Aktiviti bersukan banyak memberi faedah kepada kita.
Oleh itu, masa lapang kita tidak berlalu dengan sia-sia apabila kita bersukan.
Saya menyeru kepada hadirin agar
menyertai kegiatan sukan yang ternyata banyak memberi faedah kepada kita.
Sekian saya syaraha saya kali ini, terima kasih.
CERAMAH
“Cara-cara Menangani Masalah
Penyakit Berjangkit”
Salam sejahtera
diucapkan kepada Guru Besar,
guru-guru, dan murid-murid yang dihormati. Saya ingin mengucapkan terima kasih
kepada pihak sekolah ini kerana sudi mengundang saya untuk menyampaikan ceramah
pada pagi ini. Tajuk ceramah saya pada pagi ini ialah “Cara-cara Menangani
Masalah Penyakit Berjangkit”.
Hadirin yang dihormati,
Negara kita
sering dilanda wabak penyakit berjangkit yang berbahaya seperti demam denggi,
demam kepialu, dan taun. Penyakit-penyakit ini jika tidak dikawal akan
memudaratkan malahan membawa maut kepada penghidapnya. Oleh itu, kita semua
berperanan penting dalam mengawal
penyakit ini daripada merebak.
Perkara utama
yang perlu kita ambil berat ialah kebersihan diri sendiri. Kita harus
memastikan badan kita sentiasa bersih dan sihat. Jadikan membasuh tangan
sebelum makan sebagai amalan. Elakkan makan di luar kerana makanan yang dimasak
itu belum tentu bersih dan selamat untuk
dimakan.
Hadirin yang dikasihi,
Persekitaran
rumah kita juga perlu diberi perhatian. Usah biarkan sampah-sarap bertaburan
atau berlonggok sehingga dihurungi lalat. Parit dan longkang hendaklah dibersihkan untuk mengelakkan air
bertakung. Tin-tin kosong, botol-botol minuman, dan tayar-tayar lama perlu
ditanam atau dibbuang di tempat yang disediakan. Ini penting untuk mengelakkan
pembiakan nyamuk yang membawa penyakit.
Selain itu,
penduduk sesebuah kawasan baik di kampung atau di taman perumahan harus
bergotong-royong membersihkan kawasan masing-masing. Kawasan yang bersih
menjamin keselamatan penduduk daripada dihinggapi nyamuk yang membawa penyakit.
Kita hendaklah bekerjasama dalam menangani masalah penyakit berjangkit ini.
Saya menyeru
kepada hadirin agar mengambil berat akan
kebersihan diri dan persekitaran Saya akhiri dengan kata-kata cegahlah sebelum
parah. Sekian, terima kasih.
PERBAHASAN
“Buah-buahan Tempatan Lebih Baik Berbanding
Buah-buahan Luar Negara”
Yang dihormati
Tuan Pengerusi Majlis, panel hakim yang bijaksana, guru besar, guru-guru,
rakan-rakan pembangkang serta para hadirin yang dikasihi.
Terima kasih
saya ucapkan atas peluang yang diberikan. Saya menyokong tajuk perbahasan iaitu
buah-buahan tempatan lebih baik berbanding buah-buahan luar Negara.
Hadirin yang dihormati,
Buah-buahan
tempatan ialah buah-buahan yang ditanam di negara sendiri. Buah-buahan tempatan
seperti jambu, nangka , betik dan lain-lain lagi senang diperoleh. Kita juga
boleh menanam sendiri buah-buahan tempatan ini yang senang tumbuh dan hidup
subur. Tidak perlu kita mendapatkan buah-buahan luar negara yang pasarannya
terhad di pekan atau di bandar.
Selain itu,
buah-buahan tempatan mempunyai khasiat yang setanding malah ada yang lebih baik
lagi berbanding buah-buahan luar negara. Kita boleh memperoleh buah-buahan
tempatan yang lebih segar tanpa bahan pengawet. Ini dapat meningkatkan tahap
kesihatan yang lebih baik berbanding makan buah-buahan luar negara yang
mempunyai bahan pengawet yang boleh menjejaskan kesihatan kita.
Hadirin yang dikasihi,
Kita dapat
menjimatkan belanja dengan memakan buah-buahan tempatan kerana harga yang lebih
murah berbanding buah-buahan luar
negara. Dengan itu, kita dapat khasiat dengan memakan buah-buahan tempatan
dengan mudah.Kebanyakan rakyat termasuk rakyat berpendapatan rendah mampu membeli buah-buahan tempatan berbanding
buah-buahan luar negara yang lebih mahal harganya.
Sehubungan itu,
secara tidak langsung kita dapat meningkatkan ekonomi negara kita. Pendapatan
para petani kita yang mengusahakan tanaman buah-buahan tidak terjejas malah
semakin meningkat. Secara tidak langsung kita membantu para pengusaha tanaman buah-buahan meningkatkan produktiviti
mereka.
Jelaslah bahawa
makan buah-buahan tempatan lebih baik daripada makan bauah-buahan luar negara.
Sekian, saya sudahi dengan lafaz terima kasih.
As salam Cikgu, saya copy untuk anak saya baca yer.
ReplyDelete