Thursday 27 December 2012

Sayangi Bahasa Melayu...


                                     Takdirmu.......bahasaku

Sejarahmu....ribuan tahun berlalu
Lingua Franca gelaran perananmu
Penyatu aneka bangsa penghuni di Melaka
Ditutur pedagang tak kira bangsa.
Bahasaku.....
Lahir tokoh ilmuwan pendokong watakmu
Gahnya Nusantara
Menjana kegemilangan Tamadun Melayu
Siapa kata bahasaku bukan bahasa ilmu????
Setinggi darjatmu,diangkat di persada Perlembagaan negaraku
Bahasa rasmi,bahasa kebangsaan panggilan keramatmu
Ampuh dan teguh selaku pemersatu
Etnik dan bangsa hidup berpadu.
Takdirmu bahasaku........
Diangkat di singgahsana namun hidup melata
Di sisi penutur-penutur egois yang tidak setia
Tanpa tatabahasa,cetek dan dangkal akal bicara
Tak punya identiti untuk dikenal bangsa.
Di mana lagi nak kuadu sengsara nasibmu bahasa????
Pada tangan-tangan rakus,boneka jajahan minda???
Menyakitkan......hati,jiwa....melolong raungan sukma
Semoga esok takdirmu berubah,bahasaku......
Seiring doa penutur-penutur setia
Walau bayangnya kabur...harapan masih belum berkubur.

Wednesday 26 December 2012

Cuti Sekolah Sudah Berakhir...Peperiksaan Semakin Hampir

Assalamualaikum...
Pejam celik pejam celik...hanya tinggal seminggu lagi  persekolaha bermula. Minggu inipun rakann-rakan guru tentunya ke sekolah untuk menghadiri mesyuarat dan membuat persiapan sebelum menjelangnya hari persekolahan....Tahniah...Semangat beginilah yang perlu ditunjukkan..Oops...jangan lupa dengan persiapan peperiksaan yang akan menjelang 4 hari lagi..Pantasnya masa bergerak ........Apapun...Teruskan berjuang untuk memproleh keputusan yang cemerlang semestinya . Tugas sebagai guru dan pelajar sememangnya agak berat namun..pendidik yang hebat dan pelajar yang cekal tidak menggangap itu bebanan . Harungi...segalanya dengan kesabaran kerana kesabaran pastinya menjanjikan kebahagiaan. Isyaallah.

Thursday 13 December 2012

PANDUAN MENJAWAB KERTAS 2 BAHAGIAN C


PANDUAN

Bahagian C merupakan bahagian yang wajib dijawab dalam Kertas 2 Bahasa Melayu Penulisan. Bahagian ini mengandungi petikan sama ada bahan prosa
(pantun, puisi dan sajak)  atau bukan prosa (cerita, dialog, ucapan dan sebagainya). Biasanya petikan yang diberi sekitar 150 – 200 patah perkataan. Masa menjawab ialah 20 minit. Pelajar dikehendaki mencari nilai dalam petikan diberi dan mengulas nilai yang diperoleh. Panjang ulasan antara 50 – 60 patah perkataan. Jawapan terbaik ialah jawapan yang dapat memberikan lima nilai atau pengajaran yang betul berserta ulasan atau contoh yang tepat dan bersesuaian dengan petikan diberi.

3.  Bentuk Soalan

     a.  Tulis lima pengajaran yang dapat kamu peroleh daripada petikan
          di bawah.
     b.  Tulis lima amalan baik yang dapat kamu peroleh daripada petikan
          di bawah.
     c.  Tulis lima nilai positif yang dapat kamu peroleh daripada petikan
          di bawah.

·        Nota Penting

Walau pun bentuk soalan berbeza namun kesemuanya menjurus kepada satu matlamat iaitu nilai murni


4.  Kaedah Pengajaran

           Kaedah pengajaran merujuk kepada apakah teknik yang akan digunakan bagi mengembangkan pelajarannya. Teknik pengajaran yang digunakan dalam proses pengajaran yang jelas dan menarik dapat memudahkan pelajar memahami pelajaran yang diajar. Oleh itu pengajaran perlulah diajar secara berperingkat-peringkat daripada senang kepada yang susah. Untuk mengajar Bahagian C agar pelajar lebih mantap menjawab Bahagian C  maka beberapa kaedah boleh digunakan.

 4.1      Memperkenalkan  Nilai-Nilai Murni
           
             Di peringkat awal pengajaran guru perlu memperkenalkan dan menerapkan
nilai-nilai murni dalam pengajaran dan pembelajaran. Terdapat nilai murni utama yang diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran yang perlu diketahui oleh pelajar. Bagi memantapkan pelajar, guru perlu menerangkan nilai dan pecahannya dan memberikan contoh dalam bentuk peristiwa bagi memudahkan murid memahami. Murid juga digalakkan memberikan contoh sesuai dengan nilai diberi. Lihat contoh di bawah:


NILAI-NILAI MURNI

  • BERTANGGUNGJAWAB
  • PRIHATIN
  • BAIK HATI
  • BERDISIPLIN
  • KERAJINAN
  • BERTOLAK ANSUR
  • BERHATI-HATI
  • BERJIMAT CERMAT
  • TOLONG-MENOLONG
  • BERDIKARI
  • KERJASAMA
  • BERHEMAH TINGGI
  • KESEDERHANAAN
  • KASIH SAYANG
  • BERSYUKUR
  • KEADILAN
  • RASIONAL
  • KEBEBASAN
  • SEMANGAT BERMASYARAKAT
  • KEBERANIAN
  • HORMAT-MENGHORMATI
  • KEJUJURAN
  • PATRIOTISME
  • KEBERSIHAN FIZIKAL DAN MENTAL



4.2       Kaedah Simulasi


              Simulasi merupakan satu situasi pembelajaran yang terkawal dan sengaja diwujudkan sama seperti situasi yang sebenar. Simulasi boleh dijalankan sama ada secara sosiodrama atau main peranan. Dalam sosiodrama biasanya skrip telah disediakan manakala main peranan lebih kepada lakonan. Beberapa pelajar melakonkan (main peranan) satu situasi dan minta murid menyatakan nilai murni yang terdapat dalam lakonan tersebut. Contohnya pelajar melakonkan situasi bersalam dengan ibu bapa. Kemudian minta pelajar menyatakan nilai murni daripada perbuatan tersebut. Kaedah ini amat menarik pelajar kerana di samping dapat menonjolkan bakat, pelajar juga dapat menjelmakan nilai murni yang terdapat daripada lakonan tersebut. 


4.3     Kaedah Bercerita

        Kaedah bercerita juga boleh digunakan semasa mengajar Bahagian C ini. Cerita yang disampaikan boleh dilakukan dalam berbagai cara. Antaranya;
         
            i.          Guru bercerita sebuah cerita pendek (10 minit). Selepas itu, minta pelajar berikan nilai murni atau pengajaran yang terdapat dalam petikan. Kemudian minta pelajar mengulas nilai murni atau pengajaran berdasarkan cerita tersebut.
            ii.         Guru atau murid membaca petikan yang disediakan manakala murid mencatat nilai murni dan pengajaran yang diperoleh.
            iii.       Guru mendengarkan rakaman cerita, drama, deklamasi puisi dan sebagainya. Murid diminta mencatat nilai murni atau pengajaran yang diperoleh.
 

4.4     Menukar Nilai Negatif Kepada Positif

            Dalam petikan diberi bagi Bahagian C ini tidak semuanya menjurus kepada nilai murni. Terdapat bahan diberi mengandungi nilai negatif. Guru perlu menerangkan kepada murid tentang arahan soalan yang mahukan nilai positif atau pengajaran yang diperoleh daripada petikan. Justeru itu, pelajar perlu dilatih menukar nilai negatif dalam petikan kepada nilai positif dan membuat ulasan berdasarkan petikan. Contoh;


Nilai negatif


Nilai positif dan ulasan
Ah Meng suka bercakap bohong dengan ibunya.
Kita mestilah bercakap benar dengan ibu kita.
Muttu sangat malas menyiapkan kerja sekolah yang diberikan oleh gurunya.
Kita hendaklah rajin menyiapkan kerja sekolah yang diberikan.
Ali suka berlagak dan sombong  kerana dia anak orang berada.
Kita sepatutnya berhemah tinggi walaupun kita orang berada.

4.5     Pengunaan Alat Bantuan Mengajar

     Penggunaan alat bantuan mengajar seperti gambar boleh digunakan bagi
mengajar Bahagian C ini. Gambar yang ditunjukkan juga dapat memberikan mesej kepada pelajar. Sehubungan dengan itu, dalam proses pengajaran untuk memudahkan pelajar mencari nilai murni maka gambar boleh digunakan. Gambar yang dtunjukkan atau diberikan boleh merupakan gambar tunggal atau gambar bersiri. Selain itu, gambar melalui surat akhbar, majalah, kartun atau dengan melayari internet juga boleh digunakan. Di peringkat tahap 1, proses pengajaran begini akan menarik minat pelajar.

           
4.6  Menjelmakan nilai

              Satu lagi teknik yang perlu diajar kepada pelajar untuk menjawab Bahagian C ini ialah menjelmakan nilai baik yang sedia ada dalam petikan. Pelajar tidak boleh mengambil nilai baik yang dinyatakan dalam petikan kerana jika pelajar berbuat demikian maka pelajar tersebut dianggap menyalin semula petikan. Contohnya jika dalam petikan ada nilai diberi ‘terima kasih’ maka ‘terima kasih’ tidak boleh dinyatakan dalam ulasan diberi. Nilai ‘terima kasih’ perlu dijelmakan dengan perkataan baru yang mempunyai nilai yang sama iaitu ‘bersyukur’ atau ‘menghargai’. Di bawah diberikan beberapa contoh nilai yang sinonim dengan nilai diberi.

            terima kasih = menghargai = bersyukur 
            berhati-hati = berhemah = cermat
            belas kasihan = simpati
            berbudi bahasa = hemah tinggi
            adil = saksama = hemah tinggi

5.  Langkah Penting Menjawab bahagian C

 5.1  Baca petikan sekurang-kurangnya dua kali. Gariskan isi penting
        penting dan kenal pasti nilai baik berdasarkan kehendak soalan
       
            Pelajar mempunyai masa yang mencukupi. Bacaan pertama adalah 
        untuk memahami petikan. Bacaan kali kedua untuk mengenal pasti nilai
        dan garisi ayat  yang ada nilai murni dan tuliskan nilai di tepi petikan
             Contoh:


Aku anak petani.Namaku Firdaus. Walau pun hidupku “ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’.Hubungan kekeluargaan kami masih erat. Ayah sentiasa memberikan sepenuh perhatian kepada kami. Walaupun kami hidup susah, ibu tidak pernah mengeluh.
            Harapan ayah dan ibu ingin melihat aku berjaya. Aku membuat persediaan awal untuk menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah. Di sekolah aku sentiasa menumpukan perhatian semasa guru mengajar. Di rumah pula, aku menyediakan jadual waktu untuk belajar.
            Kegiatan sukan di sekolah tidak aku tinggalkan. Dengan bersukan, badanku menjadi cergas. Justeru, aku akan dapat belajar dengan selesa.
            Aku bertekad mengubah nasib keluarga aku. Untuk itu aku berjanji akan belajar dengan gigih dan menjadi model terbaik kepada adik-adikku. Aku akan membuktikan bahawa kemiskinan bukan penghalang mencapai kejayaan.


                                                                                                 
                                                                                                           
5.2   Gunakan kata ganti nama ‘kita’.

            Petikan dibaca oleh pelajar dan pelajar yang dapat pengajaran
         daripada petikan. Justeru itu gunakan kata ganti nama ’Kita’ semasa
         membuat ulasan.
              
5.3  Gunakan frasa ‘kita hendaklah’, ‘kita haruslah’,

             Pelajar boleh menggunakan rangkai kata tersebut bagi memberi
         penekanan nilai atau pengajaran yang diulas. Antara rangkai kata yang  
         sesuai digunakan seperti berikut:

                          kita haruslah ...
                          kita hendaklah ...
                          kita sepatutnya ...
                          kita sewajarnya ...
                          kita mestilah ...
                          kita perlulah ...

         Contoh ulasan :  Kita sepatutnya rajin menyiapkan kerja sekolah yang 
                                       diberi oleh guru.

5.4   Berikan lima idea penting dalam satu perenggan

                  Pelajar hanya perlu mengambil lima nilai daripada petikan. Jika ada
         lebih daripada lima nilai dalam petikan maka pelajar harus memilih lima
         sahaja  nilai dan ulas setiap nilai dalam satu perenggan sahaja. Jika pelajar
         menulis lebih dari lima nilai maka hanya lima nilai awal sahaja yang
              diambil kira. Pelajar yang membina ulasan dalam bentuk berpoin, frasa
              atau lebih satu perenggan tidak akan cemerlang.
5.5   Mesti mengambil nilai atau pengajaran dan contoh daripada
        petikan sahaja.

            Pelajar perlu mengambil nilai, membuat ulasan (huraian) atau contoh
         berdasarkan petikan diberi. Maksudnya ulasan tidak boleh di luar petikan.
               Ulasan di luar petikan menyebabkan pelajar tidak akan mendapat markah
               yang baik.

                Contoh :
                   

Rupa-rupanya budak itu telah kehilangan duit. Rosman telah memberikan sebahagian wangnya kepada budak itu.


           Ulasan salah        : Kita mestilah memberi bantuan kerana itu adalah
                                                    amalan  yang mulia.

                    * salah kerana ulasan di luar petikan walaupun nilainya tepat.

                Ulasan sepatutnya :  Kita mestilah memberi bantuan kewangan
                                                   kepada orang yang memerlukan pertolongan.

            * Betul kerana ulasan berdasarkan  petikan .

            Ulasan sepatutnya  :  Kita mestilah membantu orang lain seperti Rosli
                                                    yang memberikan sebahagian wang kepada
                                                    budak itu.
               
                 * Betul kerana ulasan mengambil contoh dalam petikan.


   5.6     Jelmakan nilai yang terdapat dalam petikan

              Petikan diberi biasanya mengandungi nilai yang tersirat (nilai tidak
              dinyatakan secara terus) dan nilai tersurat (nilai yang dinyatakan terus
              dalam petikan). Nilai yang tersirat ini memerlukan pelajar menjelmakan
              nilai yang sesuai berdasarkan ayat diberi. Bagi nilai yang tersurat pelajar
              perlu menjelmakan nilai baru yang sinonim dengan nilai yang tersurat itu.
             
               5.6.1  Contoh petikan yang mengandungi nilai yang tersirat:

Sang Semut sering keluar mencari makanan untuk
kumpulannya.
         
              * Nilai yang tersirat ialah rajin.

              5.6.2  Contoh petikan yang mengandungi nilai yang tersurat:

Sang Merbuk segera terbang untuk menyelamatkan diri. Sang Merbuk mengucapkan terima kasih kepada Sang Semut.

           *  Dalam petikan telah terdapat nilai tersurat (sedia ada) iaitu terima kasih.




          5.6.3  Menjelmakan nilai yang tersurat

                               Kita perlu menjelmakan nilai yang tersurat dengan nilai baru yang
                        sinonim dengan nilai tersebut. Jika tidak kita seolah-olah menyalin
                        semula nilai dalam petikan dan kemungkinan besar nilai yang disalin
                        semula itu tidak memberikan markah.

                        Contoh:

Sang Merbuk segera terbang untuk menyelamatkan diri. Sang Merbuk mengucapkan terima kasih kepada Sang Semut

                 Nilai tersurat terima kasih gantikan dengan menghargai atau
                 bersyukur.

   5.7   Gunakan penanda wacana bagi menghubungkan ayat

                Penanda Wacana digunakan bagi menghubungkan ayat dengan ayat
             yang lain agar lebih menarik. Untuk itu pelajar boleh menggunakan penanda
             wacana dalam Fomula ASSDA bagi menjawab soalan bahagian C. Antara
             penanda wacana yang sesuai digunakan ialah di samping itu, seterusnya,
             selain itu dan akhirnya.

    5.8   Garisi nilai yang ditulis dalam jawapan
              
                Garisi nilai yang ditulis bagi memberi penekanan tentang nilai yang
              dinyatakan. Selain itu ia memudahkan pemeriksa mengenal pasti nilai yang
              disampaikan.


6.   Fomula mudah menjawab

      Bagi memudahkan pelajar menjawab bahagian C ini , satu fomula direka yang dikenali ASSDA seperti dinyatakan:

 
   i.  Antara nilai murni/pengajaran….               A
   ii.  Seterusnya……………..                              S
   iii. Selain itu………                                          S
   iv. Di samping itu…….                                    D
   v.  Akhirnya ……….                                         A
  

      Fomula ini memudahkan pelajar mengingat dengan menyediakan penanda wacana yang sesuai. Pelajar cuma memasukkan nilai dan membuat ulasan dalam lima ayat sahaja. Ini dapat membantu pelajar daripada membuat ulasan yang panjang. Untuk memudahkan lagi, terutama pelajar-pelajar lemah dan sederhana, masukkan frasa ‘kita mestilah’, kita sepatutnya’, ‘kita perlulah’ selepas penanda wacana seperti contoh disediakan:

Antara nilai murni / pengajaran yang saya peroleh daripada petikan ialah …………………….........................................
………………… . Seterusnya, kita perlulah………............................
................................................................................Selain itu, kita mestilah……………………………….........................................................
Di samping  itu, kita sewajarnya .............................................
….....................................Akhirnya,kita ……….............................

7.  Kesilapan Semasa Menjawab

     7.1  Menyalin petikan

              Jangan menyalin petikan. Anda dianggap tidak  menjawab tugasan dan
              markah akan berada pada tahap Pencapaian Tahap Maksima (PTM).

    7.2   Meringkaskan petikan

              Ada pelajar yang mengambil sebahagian ayat atau mengambil beberapa
               ayat dalam petikan dan menyambungnya seolah-olah tidak menyalin  
               petikan. Ini juga tidak menepati tugasan dan berada pada pemarkahan
               Pencapaian Tahap Maksima (PTM).

    7.3   Menyenarai nilai dalam bentuk poin atau frasa

                Pelajar cuba ambil cara mudah dengan hanya menyenarai nilai dalam
              bentuk poin atau frasa seperti contoh di bawah:

                       1.  baik hati
                         2.  berkerjasama
                          -   mesti bertanggungjawab
                         *  Perlu berhati-hati

             Pelajar yang berbuat sedemikian dianggap juga tidak menepati tugasan dan
             berada pada pemarkahan Pencapaian Tahap Maksima (PTM).

    7.4  Ada nilai diberi tanpa huraian

                Pelajar yang  memberi nilai sahaja tanpa huraian pemarkahannya
             berada pada aras memuaskan.
             Contoh:
                 Selain itu kita mestilah rajin. Kita juga perlu
                 bertanggungjawab.

   7.5  Ambil nilai dalam petikan tetapi huraian luar petikan

                Ada pelajar yang dapat memberi nilai dengan tepat berdasarkan
            petikan tetapi ulasan nilai di luar petikan. Pelajar yang berbuat sedemikian
            tidak  boleh  cemerlang  dan  hanya  berada  pada  pemarkahan  Aras
            Memuaskan. Cuba lihat contoh di bawah yang mana ulasan di luar petikan.

Ali membuat latihan bahasa Melayu yang diberikan oleh gurunya.

         Ulasan  salah :  Kita perlulah rajin kerana itu sikap yang
                                  baik. (Ulasan di luar petikan)
         Ulasan tepat  :   Kita perlulah rajin membuat kerja   sekolah
                                   yang diberikan oleh guru.



         7.6   Tidak menjelmakan nilai.

                    Pelajar tidak dapat menjelmakan nilai. Pelajar biasanya mengambil
                    semula nilai yang telah ada dalam petikan. Sepatutnya pelajar perlu
                    menjelmakan nilai dengan memberi sinonim nilai yang terdapat dalam
                    petikan. Perhatikan contoh di bawah :


Ali mengucapkan terima kasih kepada Abu yang membantunya mengangkat mejanya.


             
                Salah             :  Kita perlulah mengucapkan terima kasih kepada
                                           rakan yang membantu kita.

                  Betul              :  Kita perlulah menghargai bantuan yang diberikan
                                            oleh orang lain kepada kita.

          7.7   Mengulang nilai atau idea

                       Pelajar tidak perlu mengulang idea yang sama walau pun dalam
                    petikan mengandungi nilai yang sama bagi aktiviti berbeza.
                    Pengulangan nilai atau idea yang sama tidak memberi apa-apa markah.
                    Oleh itu, pastikan hanya lima idea yang berlainan sahaja diulas.


8.  Bentuk Ulasan Bahagian C

     8.1  Bentuk Ulasan

        Terdapat dua cara yang tepat untuk menjawab soalan Bahagian C ini
   menggunakan fomula ASSDA seperti yang telah dijelaskan pada para 5 .
   Dua cara tersebut ialah:

              i.    Memberi nilai dan membuat ulasan berdasarkan petikan.
                    Contoh:

Farid baru pulang dari sekolah. Selepas mandi, dia ke dapur menolong ibunya menghidang makanan tengah hari.

               Nilai     :  membantu

                Ulasan    :  Kita mestilah membantu ibu menghidangkan makanan
                                  di dapur bagi meringankan kerja ibu.

            ii.  Memberi nilai dan mengambil contoh yang terdapat dalam  petikan.
                   Contoh:

Farid baru pulang dari sekolah. Selepas mandi, dia ke dapur menolong ibunya menghidang makanan tengah hari.

                 Nilai     :   membantu

                Ulasan   :  Kita mestilah membantu ibu seperti Farid yang menolong              
                                 ibunya menghidang makanan tengah  hari.

                 * Pelajar boleh memilih salah satu cara menjawab mengikut kesesuaian.  
                  Di bawah ini diberikan sepenuhnya contoh menjawab bahagian C
                  menggunakan kedua-dua cara yang telah diberikan.

9.   Contoh Membuat Ulasan Bahagian C   

Tulis lima nilai yang dapat kamu peroleh daripada petikan di bawah. Panjangnya jawapan kamu hendaklah tidak lebih daripada 50 patah perkataan. Tulis jawapan kamu dalam satu perenggan.

Sang Semut sering keluar mencari makanan untuk
kumpulannya. Sang Semut bersungguh-sungguh dalam menjalankan tugas yang diberikan.
          Pada suatu hari, ketika Sang Semut asyik mencari makanan, Sang Semut telah terjatuh ke dalam sungai. Sang Semut dihanyutkan air dan hampir lemas.
          Sang Merbuk yang melihat kejadian itu segera menjatuhkan sehelai daun agar Sang Semut dapat berpaut. Sang Semut berjaya menyelamatkan dirinya dengan bantuan Sang Merbuk.
          Pada suatu petang, Sang Semut terlihat seorang pemburu sedang mengacukan senapang ke arah Sang Merbuk. Sang Semut segera mengiggit kaki pemburu itu. Pemburu terkejut lalu tembakannya tersasar. Sang Merbuk segera terbang untuk menyelamatkan diri. Sang Merbuk mengucapkan terima kasih kepada Sang Semut.
          Sejak peristiwa itu, Sang Semut dan Sang Merbuk bersahabat baik.
                                                                                         UPSR 2009

  

    Nilai yang diperoleh dalam petikan
 
-         rajin                                                   -  bertindak pantas / bijak      
-         bersungguh-sungguh                         -  membalas / mengenang budi
-         tekun / berusaha / berdisiplin            -  berhemah / menghargai
-         berhati-hati                                       -  setiakawan / hubungan baik
-         membantu / menolong / baik hati      -  berani / rasional
-        prihatin / belas kasihan


 Contoh Ulasan Bentuk 1 (Ulasan Berkaitan Petikan)

        Antara nilai yang diperoleh ialah kita mestilah rajin mencari rezeki untuk keluarga kita. Seterusnya kita perlulah tekun berusaha apabila menjalankan tugas yang diberikan. Selain itu, kita sepatutnya menolong orang lain yang memerlukan pertolongan. Di samping itu, kita perlulah bertindak pantas untuk menyelamatkan diri daripada bahaya. Akhirnya, kita haruslah menghargai pertolongan orang lain dengan mengucapkan terima kasih.


Contoh Ulasan Bentuk 2 (Ulasan Mengambil Contoh Dalam Petikan)

        Antara nilai yang diperoleh ialah kita mestilah rajin membuat kerja seperti Sang Semut menjalankan tugas yang diberikan. Seterusnya kita perlu berhati-hati agar tidak jatuh ke dalam sungai seperti Sang Semut. Selain itu, kita perlu tolong menolong seperti Sang Merbuk yang menjatuhkan daun untuk Sang Semut berpaut. Di samping itu, haruslah membalas budi seperti Sang Semut membantu Sang Merbuk daripada ditembak pemburu. Akhirnya, kita menghargai pertolongan orang lain seperti Sang Merbuk yang mengucapkan terima kasih kepada Sang Semut.