KOLEKSI KARANGAN UPSR

FAKTA


“Faedah Menyertai Kegiatan Kokurikulum kepada Pelajar”

          Kegiatan kokurikulum merupakan kegiatan yang dijalankan di luar jadual waktu belajar. Kegiatan kokurikulum terbahagi pada tiga komponen iaitu kelab dan persatuan, sukan dan permainan serta unit pakaian seragam.

          Dengan menyertai kegiatan kokurikulum, para pelajar dapat memantapkan pengetahuan mengenai sesuatu kegiatan. Para pelajar mendapat ilmu mengenai kemahiran tertentu seperti berkhemah atau meningkatkan kemahiran dalam sukan yang diikuti.

          Selain itu, para pelajar dapat memupuk disiplin yang tinggi dalam diri.  Setiap aktiviti yang dilakukan memerlukan pelajar patuh kepada peraturan. Ini dapat menyemai jati diri dan menjadi pelajar yang bertanggungjawab.

          Di samping itu, penyertaan pelajar dalam kegiatan kokurikulum dapat memupuk sikap positif dalam diri pelajar. Para pelajar dapat belajar bagaimana untuk bekerjasama dan mempunyai semangat setia kawan. Setiap aktiviti yang dijalankan  dapat menjadikan para pelajar bersatu padu dan membuat aktiviti dalam suasana harmonis.

          Seterusnya, bakat para pelajar dapat dicungkil melalui kegiatan kokurikulum. Bakat yang terpendam dapat dipupuk dan dikembangkan untuk kebaikan pelajar . Para pelajar dapat menggunakan bakat yang ada untuk mencorak kerjaya pada masa hadapan.

          Oleh itu, para pelajar perlu melibatkan diri sepenuhnya dalam kegiatan kokurikulum. Jelaslah bahawa kegiatan kokurikulum memberi banyak faedah kepada pelajar.




SYARAHAN


“Kebaikan Bersukan”

          Salam sejahtera saya ucapkan kepada Tuan Pengerusi Majlis,  yang dihormati Tuan Guru Besar, para hakim yang bijaksana, guru-guru dan rakan-rakan yang dikasihi.

          Tajuk syarahan saya ialah “Faedah Bersukan”. Bersukan merupakan aktiviti yang dilakukan di luar bilik darjah seperti bermain bola sepak, bola jarring dan sebagainya,

Hadirin yang dihormati,
          Apabila kita bersukan, badan kita akan menjadi sihat. Dengan gerakan yang banyak dilakukan, badan kita akan mengeluarkan peluh. Peluh yang dikeluarkan itu mengandungi bahan kumuhan yang tidak diperlukan oleh badan.

          Selain mendapat badan yang sihat , kita dapat juga mencerdaskan otak. Dengan bersukan, oksigen lebih banyak sampai ke otak.  Otak yang cerdas membantu pelajar lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan.

Hadiri yang dihormati,
          Selain itu, kita dapat mengenali lebih ramai kawan atau merapatkan hubungan dengan kawan. Apabila mendapat ramai kawan, kita tidaklah kekok untuk berinteraksi dengan orang lain. Ini menjadikan kita seorang yang aktif.

          Seterusnya, kita boleh mengisi masa lapang dengan bersukan. Aktiviti bersukan banyak memberi faedah kepada kita. Oleh itu, masa lapang kita tidak berlalu dengan sia-sia apabila kita bersukan.

          Saya menyeru kepada hadirin agar menyertai kegiatan sukan yang ternyata banyak memberi faedah kepada kita. Sekian saya syaraha saya kali ini, terima kasih.






CERAMAH


“Cara-cara Menangani Masalah Penyakit Berjangkit”

            Salam sejahtera diucapkan kepada Guru Besar, guru-guru, dan murid-murid yang dihormati. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak sekolah ini kerana sudi mengundang saya untuk menyampaikan ceramah pada pagi ini. Tajuk ceramah saya pada pagi ini ialah “Cara-cara Menangani Masalah Penyakit Berjangkit”.

Hadirin yang dihormati,
Negara kita sering dilanda wabak penyakit berjangkit yang berbahaya seperti demam denggi, demam kepialu, dan taun. Penyakit-penyakit ini jika tidak dikawal akan memudaratkan malahan membawa maut kepada penghidapnya. Oleh itu, kita semua berperanan penting dalam mengawal  penyakit ini daripada merebak.

            Perkara utama yang perlu kita ambil berat ialah kebersihan diri sendiri. Kita harus memastikan badan kita sentiasa bersih dan sihat. Jadikan membasuh tangan sebelum makan sebagai amalan. Elakkan makan di luar kerana makanan yang dimasak itu belum tentu  bersih dan selamat untuk dimakan.

Hadirin yang dikasihi,
Persekitaran rumah kita juga perlu diberi perhatian. Usah biarkan sampah-sarap bertaburan atau berlonggok sehingga dihurungi lalat. Parit dan longkang  hendaklah dibersihkan untuk mengelakkan air bertakung. Tin-tin kosong, botol-botol minuman, dan tayar-tayar lama perlu ditanam atau dibbuang di tempat yang disediakan. Ini penting untuk mengelakkan pembiakan nyamuk yang membawa penyakit.

            Selain itu, penduduk sesebuah kawasan baik di kampung atau di taman perumahan harus bergotong-royong membersihkan kawasan masing-masing. Kawasan yang bersih menjamin keselamatan penduduk daripada dihinggapi nyamuk yang membawa penyakit. Kita hendaklah bekerjasama dalam menangani masalah penyakit berjangkit ini.

            Saya menyeru kepada hadirin agar mengambil berat  akan kebersihan diri dan persekitaran Saya akhiri dengan kata-kata cegahlah sebelum parah. Sekian, terima kasih.






PERBAHASAN



“Buah-buahan Tempatan Lebih Baik Berbanding
 Buah-buahan Luar Negara”

            Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, panel hakim yang bijaksana, guru besar, guru-guru, rakan-rakan pembangkang serta para hadirin yang dikasihi.
           
            Terima kasih saya ucapkan atas peluang yang diberikan. Saya menyokong tajuk perbahasan iaitu buah-buahan tempatan lebih baik berbanding buah-buahan luar Negara.

Hadirin yang dihormati,
            Buah-buahan tempatan ialah buah-buahan yang ditanam di negara sendiri. Buah-buahan tempatan seperti jambu, nangka , betik dan lain-lain lagi senang diperoleh. Kita juga boleh menanam sendiri buah-buahan tempatan ini yang senang tumbuh dan hidup subur. Tidak perlu kita mendapatkan buah-buahan luar negara yang pasarannya terhad di pekan atau di bandar.
           
Selain itu, buah-buahan tempatan mempunyai khasiat yang setanding malah ada yang lebih baik lagi berbanding buah-buahan luar negara. Kita boleh memperoleh buah-buahan tempatan yang lebih segar tanpa bahan pengawet. Ini dapat meningkatkan tahap kesihatan yang lebih baik berbanding makan buah-buahan luar negara yang mempunyai bahan pengawet yang boleh menjejaskan kesihatan kita.

Hadirin yang dikasihi,
            Kita dapat menjimatkan belanja dengan memakan buah-buahan tempatan kerana harga yang lebih murah  berbanding buah-buahan luar negara. Dengan itu, kita dapat khasiat dengan memakan buah-buahan tempatan dengan mudah.Kebanyakan rakyat termasuk rakyat berpendapatan rendah  mampu membeli buah-buahan tempatan berbanding buah-buahan luar negara yang lebih mahal harganya.

            Sehubungan itu, secara tidak langsung kita dapat meningkatkan ekonomi negara kita. Pendapatan para petani kita yang mengusahakan tanaman buah-buahan tidak terjejas malah semakin meningkat. Secara tidak langsung kita membantu para pengusaha  tanaman buah-buahan meningkatkan produktiviti mereka.

            Jelaslah bahawa makan buah-buahan tempatan lebih baik daripada makan bauah-buahan luar negara. Sekian, saya sudahi dengan lafaz terima kasih.

1 comment: